Story 1: Surat Kepadamu, 'Qurratul Nawra
Wahai Sahabatku,
Kehidupan sebagai seorang manusia tidak semudah apa
yang disangka. Setiap perjalanan yang kita hadapi pasti akan datang banyak
dugaan dan cabaran; ujian-ujian dari Yang Maha Esa yang kita sendiri tidak
dapat untuk menduga. Insan yang digelar sebagai manusia; insan yang digelar
umat yang teristimewa; dicipta khas oleh sang Pencipta seluruh alam. Insan yang
telah diberikan keunikan yang lain daripada yang lain; akal fikiran,
kebijaksanaan. Manusia telah diberikan keunikan ini, amat berbeza daripada
makhluk-makhluk lain di atas muka bumi. Sesekali kita melihat, kejayaan orang
lain yang mereka peroleh daripada hasil titik peluh mereka sendiri; mereka
berusaha keras mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan, kemahiran-kemahiran demi
hanya untuk satu matlamat, supaya suatu hari nanti mereka dapat berbakti kepada
masyarakat serta rakyat yang telah membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada
mereka berasaskan semangat dan sokongan si pembimbing.
Adakalanya, dalam kita mengecapi kehidupan yang penuh
pancaroba, ada sesetengah daripada insan yang dimuliakan olehNya sekadar buat
endah tak endah. Golongan ini tidak merasa kenikmatan yang mereka perolehi ini
datang daripada Allah SWT, Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Mereka tidak
rasa bersyukur atas segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT. Mereka
mula berubah dari kejujuran kepada penipuan, baik hati kepada sombong, peramah
kepada bongkak. Tetapi apa yang mereka tidak ketahui ialah Allah Maha Berkuasa,
Allah Maha Memberi. Sekali Allah SWT menarik nikmat yang sedia ada pada kita,
bermulalah penyesalan yang amat ketara kepada mereka yang tidak tahu makna
bersyukur dalam kehidupan. Jika penyesalan itu disulami dengan taubat dan doa
yang penuh dengan kekesalan yang hakiki dari hati kepada yang Maha Esa,
sesungguhnya Dia akan memaafkan si pelaku itu kerana Allah SWT Maha Pengampun
lagi Maha Mengasihi setiap makhluk-makhlukNya di muka bumi serta seluruh alam
semesta.
Si wanita yang mempunyai segala-galanya; keluarga yang
memahami dirinya, mempunyai pendidikan yang mencukupi, bebas melakukan apa saja
yang dikehendaki. Tetapi pada suatu ketika, pabila si wanita tidak menyedari
setiap perlakuan yang beliau lakukan membawa kemurkaan kepada masyarakat
sekeliling bahkan kepada Yang Maha Esa, nikmat yang beliau miliki mula ditarik
sedikit demi sedikit, ditambah pula dengan ujian-ujian yang amat mencabar jiwa
dan pemikiran si wanita tersebut. Pada masa itu, mulalah datangnya satu
penyesalan yang si wanita itu pasti bahawa taubatnya tidak dapat diterima oleh
Yang Maha Esa. Berbekalkan ilmu-ilmu yang selalu dipelajari dari kawan-kawan,
para pendidik serta keluarga, si wanita bangkit dari kegelapan yang jahil dan
mulakan langkah-langkahnya sedikit demi sedikit dalam mengecapi kehidupan yang
sebenar; kehidupan yang sentiasa di bawah lindungan Allah SWT.
Belajarlah daripada kesilapan yang lalu. Setiap
kesilapan yang kita lakukan pada masa lalu mengajar kita makna dan erti
kehidupan yang sebenar; kehidupan yang deredhai oleh Allah SWT. Allah SWT tidak
akan memberikan sesuatu ujian kepada umat manusia sewenang-wenangnya, Dia akan
memberi ujian kepada mereka supaya mereka sentiasa ingat dan taat dengan perintah
Allah SWT.
Loved,
Qurratul Nawra
Qurratul Nawra Binti Abd
Halim
Comments
Post a Comment